Hasil jualan meningkat sebanyak lebih 2 kali ganda dengan menyertai kempen E-Bazar Raya 2021

Sidang Media Keputusan Kempen E-Bazar Raya 2021 telah menyaksikan beberapa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjaya meningkatkan hasil jualan mereka ketika di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui kempen ini yang sekaligus telah membantu mereka untuk menjana pendapatan seharian melalui platform Shopee dan Lazada.

Mohd Ghazali Anuar, pengusaha Baiworld Kitchen, merupakan salah seorang yang telah mendapat manfaat daripada kempen ini. Di bawah carian ‘Mohd Ghazali Anuar’ di Shopee, beliau telah berjaya mengumpul lebih 2 ribu pengikut dengan menjual pelbagai produk keluaran beliau dan isteri, antaranya adalah sambal pecal Ustazah Hafiza, kerepek peria crispy dengan pelbagai perisa iaitu ori, spicy, garlic dan black pepper, serta pegaga crispy. Selain daripada itu, produk terawal keluaran beliau ialah sambal jawa special dan sambal jawa.

“Pada awal bulan puasa, jualan seharian saya hanya mencecah sebanyak 60-70 unit sehari, tetapi selepas pelancaran E-Bazar pada tahun ini, hasil jualan saya meningkat sebanyak lebih 2 kali ganda dengan jualan kasar sebanyak RM3,000 sehari.” kata Ghazali.

Beliau juga pada masa yang sama dapat membantu pekebun-pekebun kecil di kawasan beliau iaitu di daerah Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam, Selangor, dengan membeli hasil sayur-sayuran mereka terutamanya peria.

Walau bagaimanapun, antara cabaran yang dihadapi beliau adalah bekalan yang sangat terhad disebabkan oleh tempahan produk beliau yang begitu tinggi yang memaksa beliau untuk menggoreng peria dalam lebih kurang 400 kilogram sehari sehinggakan beliau terpaksa meminta bantuan daripada pihak FAMA di Batu 37 untuk menambah bekalan yang kini sudah pun mencukupi.

Selain itu, perusahaan kecil yang dimulakan oleh Ghazali sekeluarga telah membuka peluang untuk membantu golongan asnaf di kampung dimana beliau telah mengambil mereka untuk membantu dalam proses penggorengan produk. Ini sekaligus dapat meringankan beban golongan asnaf semasa di dalam tempoh PKP untuk mendapatkan pekerjaan dan pendapatan.

Ghazali amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor terutamanya kepada Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari kerana mewujudkan kempen E-Bazar yang sememangnya telah membantu beliau dan PKS yang terjejas dari segi kewangan menjana pendapatan yang lebih ketika tempoh PKP ini.

Tidak ketinggalan juga kepada Shopee kerana menyediakan platform yang mudah dan disukai ramai. Shopee telah menjadi sesuatu yang signifikan buat beliau kerana ianya merupakan titik permulaan jualan atas talian beliau yang dapat membantu pelbagai pihak di kala keadaan yang begitu mencabar ini seperti para pembekal, penanam sayur dan golongan asnaf yang memerlukan.

Ghazali juga mengucapkan penghargaan beliau kepada Sidec kerana menyediakan peluang untuk beliau mempelajari selok belok perniagaan terutamanya dalam meningkatkan jualan dan promosi barangan yang secara tidak langsung telah membantu beliau membina kedai di Shopee.

The post Hasil jualan meningkat sebanyak lebih 2 kali ganda dengan menyertai kempen E-Bazar Raya 2021 first appeared on SIDEC.
Source: Sitec News

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading...
Sign Up For Our Newsletter